fbpx

Penolong jurutera nafi terima suapan projek pendawaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan

MELAKA – Seorang penolong jurutera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan bagi kerja-kerja menaik taraf pendawaian di pejabat Vokasional Melaka Tengah, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Suhairol Samsudin, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Kolej Vokasional Melaka Tengah didakwa telah menerima wang tunai berjumlah RM600 ringgit daripada Abdul Rashid Omar, 57, yang diketahui mempunyai hubungan kerja-kerja rasmi dengannya.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Lot 1762-3 Jalan Sungai Punggur Laut dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 9.30 malam, pada 28 Februari 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan perlu menyara keluarga termasuk anak yang masih bersekolah.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Melaka sehingga kes selesai.

Elesabet kemudian menetapkan tarikh 17 Jun sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI