PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menganggap pasukannya bertuah apabila dihadiahkan sepakan penalti pada babak akhir permainan bagi membolehkan mengelak kekalahan pertama musim ini.
Mora berkata, soal layak atau tidak mendapat sepakan penalti itu bukan isu setelah pasukannya bermati-matian mengasak pasukan Sri Pahang pada babak kedua bagi memburu gol penyamaan mengikat permainan seri 2-2.
“Pengadil perlawanan sudah meniup wisel setelah lihat Bergson Da Silva dijatuhkan dalam kotak penalti, bagi saya kami layak untuk mendapat sepakan penalti.
“Sama ada kami layak untuk dapat penalti itu atau sama ada pengadil buat keputusan yang tepat atau tidak, itu bukan hak saya untuk mempersoalkan, menerima dengan hati terbuka.
“Kami banyak menyerang pada babak kedua dengan melakukan larian ke dalam kotak penalti, menggelecek dan melakukan rembatan, setiap kali serangan dibuat perkara ini (dihadiahkan sepakan penalti) boleh berlaku. Ia berlaku kepada mana-mana pasukan, kali ini terjadi kepada kami,” katanya.
Pengendali kelahiran Mexico itu berkata, skuad Harimau Selatan dipaksa bekerja keras pada perlawanan itu setelah Sri Pahang FC banyak bertahan setelah mendahului permainan 2-1 pada babak pertama.
Katanya, kehadiran pemain tengah kelahiran Argentina, Manuel Hidalgo dan penyerang import, Mahmoud Saleem Za’tara mendatangkan resah buat JDT setelah memainkan peranan penting menghasilkan gol buat pasukan pelawat.
“Perlawanan itu cukup sukar buat kami apabila tidak dapat beraksi di tahap sebenar, segala taktikal perancangan yang dilakukan juga tidak berjalan dengan lancar, malah banyak hilang kawalan hingga pihak lawan dapat gunakan kesempatan itu.
“Namun, kami berjaya bangkit dan menguasai permainan pada babak kedua, sedikit kelegaan apabila dapat gol penyamaan minit akhir perlawanan,” ujarnya.