MERON, Israel – Kumpulan pelampau Yahudi merempuh halangan polis di lokasi kunjungan keagamaan di Gunung Meron kelmarin, setahun selepas 45 orang terbunuh dalam tragedi rempuhan.
Polis Israel berkata, berpuluh-puluh pelampau memecah masuk ke lokasi keagamaan itu dengan meruntuhkan pagar dan membahayakan nyawa manusia.
Polis berundur dari lokasi kejadian sebelum kembali semula tidak lama kemudian, demikian menurut seorang jurugambar agensi berita AFP.
Lebih 10,000 penganut Yahudi berkumpul di lokasi tersebut di bawah kawalan ketat pada Rabu lepas untuk memulakan kunjungan keagamaan mereka.
Amalan ziarah ke Gunung Meron berlaku pada cuti Lag BaOmer apabila orang Yahudi ortodok berkumpul di makam rabi yang hidup pada kurun kedua, Shimon Bar Yochai.
Pada 30 April tahun lalu, tragedi rempuhan berlaku pada ruang lelaki di lokasi tersebut.
Sekurang-kurangnya 16 kanak-kanak antara mangsa yang mati dipijak dalam peristiwa yang disifatkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Benjamin Netanyahu sebagai salah satu bencana paling buruk dalam sejarah Israel.
Dalam perkembangan sama, seorang jurugambar AFP melihat sebilangan perusuh ditangkap dan digari oleh polis kelmarin. Menurutnya, beberapa kamera keselamatan dan peralatan elektrik di lokasi tersebut telah disabotaj.
Polis kemudian menghentikan pergerakan penganut tambahan ke lokasi tersebut. Ziarah ke Gunung Meron berlangsung hingga malam kelmarin.
Pada Rabu lepas Perdana Menteri, Naftali Bennett berkata bahawa kerajaan pimpinannya telah membuat pelaburan besar bagi melaksanakan langkah-langkah baharu untuk memastikan tragedi pada tahun lalu tidak berulang.
Antaranya termasuk mengehadkan jemaah kepada 16,000 orang di lokasi itu pada sesuatu masa.
Pada Selasa lalu, polis berkata, pihaknya telah merampas sejumlah pisau dan tukul daripada kumpulan serpihan pelampau Yahudi yang berniat untuk mensabotaj infrastruktur komunikasi di lokasi tersebut. – AFP