HANOI – Skuad senior memanah negara, Mohd. Juwaidi Mazuki dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh membuktikan kehadiran mereka dalam skuad kebangsaan penting untuk terus membantu kontinjen negara membutirkan emas pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021 semalam.
Gandingan Juwaidi dan Fatin sejak 2015 dalam acara compound ternyata masih berbisa apabila berjaya menumpaskan pasangan dari Filipina, Jannifer Dy Chan-Paul Marton Santos Dela Cruz dengan kemenangan tipis 151-150 di Lapangan Sasar Pusat Latihan Sukan Nasional.
Lebih manis, kemenangan tersebut sekali gus menamatkan kemarau emas skuad memanah di Hanoi. Lebih membanggakan, ia adalah emas ketiga buat pasangan itu yang sebelum ini cemerlang meraih emas di Sukan SEA Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017).
“Syukur alhamdulilah, memang orang kata pada hari ini memang rezeki menjadi milik kami, meskipun hanya dipisahkan satu mata kerana panahan saya tidak berapa menjadi pada sebelah pagi.
“Pada saingan ini, saya hanya fikir untuk lakukan terbaik untuk negara dan akhirnya kemenangan memihak kepada kami berdua.
“Saya berterima kasih kepada Juwaidi kerana tanpa dia mungkin kami tidak mampu ke final,” kata Fatin sejurus tamat perlawanan.
Sementara itu, Juwaidi mengakui, kemenangan tersebut sekali gus dapat menebus kekecewaannya selepas hanya mampu meraih pingat perak dalam acara berpasukan.
“Ini adalah emas ketiga saya bersama Fatin dan harap ia dapat mengubati kekecewaan saya selepas meraih perak dalam acara berpasukan lelaki,” katanya.
Pada sebelah pagi, harapan trio compound lelaki negara untuk mempertahankan emas keempat sejak Sukan SEA Singapura (2015) gagal direalisasikan selepas tewas satu mata dengan Indonesia.