fbpx

Makanan makin mahal, petani makin miskin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

ISU krisis bekalan makanan dunia semakin hangat diperkatakan akhir-akhir ini dan masalah tersebut sebenarnya bukanlah perkara baharu kepada kita.

Umum memperkatakan mengenai perang antara Rusia dan Ukraine menjadi penyebab krisis berkenaan.

Hal tersebut memang tidak boleh dinafikan kerana Rusia merupakan pengeksport terbesar gandum dunia, manakala Ukraine yang kelima terbesar.

Malah, kedua-dua negara tersebut adalah sumber 19 peratus bekalan barli dunia, gandum (14 peratus) dan jagung (empat peratus) sekali gus membentuk satu pertiga daripada eksport bijirin global.

Turut terkesan, kedua-dua negara itu menyumbang 52 peratus pasaran eksport minyak bunga matahari global selain Rusia, pembekal baja besar dunia.

Hakikatnya, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine adalah faktor pencetus kepada pelbagai faktor lain yang menjejaskan rantaian bekalan makanan dunia terutama wabak Covid-19 yang melanda sejak awal tahun 2020.

Begitu juga dengan masalah cuaca dunia yang semakin tidak menentu termasuk kemarau berpanjangan serta banjir turut menjejaskan pengeluaran makanan seperti yang berlaku di India.

Di Malaysia, meskipun mempunyai tanah yang subur serta pelbagai prasarana yang baik dan boleh dipertingkatkan tetap terkesan dengan krisis makanan dunia kerana tidak serius memanfaatkan apa yang ada.

Berdasarkan laporan, penduduk Malaysia menggunakan 2.7 tan beras setahun dengan 30 peratus terpaksa bergantung kepada beras import, manakala penggunaan gandum sekitar 1.6 juta tan yang diimport sepenuhnya.

Bukan sekadar itu, realitinya kita mengimport 60 peratus makanan harian seperti sayur-sayuran, buah-buahan serta daging.

Apabila ringgit jatuh, pastinya harga semua barangan itu melonjak naik ditambah dengan pelbagai peningkatan kos lain seperti pembungkusan, pengangkutan dan tenaga kerja.

Apa yang berlaku hari ini seolah-olah kita tidak pernah belajar daripada pengalaman lalu, sedangkan negara telah berdepan krisis bekalan beras pada 2011 apabila banjir menenggelamkan 1.5 juta hektar padi di Thailand, Vietnam dan Kemboja menyebabkan negara tersebut tidak dapat mengeksport beras ke negara ini.

Begitu juga kemarau ekstrem di Thailand pada 2016 menyebabkan negara itu pernah menyekat eksport beras dunia bagi mengelak bekalan kepada penduduk tempatan mencukupi.

Lebih malang, dalam keadaan krisis bekalan makanan ini, para pekebun dan pesawah kita terus miskin dan semakin miskin.

Nelayan sejak dahulu sangat sukar untuk melepasi kelompok masyarakat B40.

Sampai bila kita mahu membiarkan keadaan kebergantungan ini berterusan. Tepuk dada tanya selera.

Orang politik berdebat berapi-api di Parlimen, orang kampung berhujan berpanas demi sesuap nasi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI