SHAH ALAM – Kementerian Perpaduan Negara akan melaksanakan Jelajah KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia bagi mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini.
Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, langkah itu adalah selaras dalam memastikan kelestarian, dan mengharmonikan kesefahaman antara kaum yang menjadi asas kepada kestabilan negara.
“Kita mahu hubungan sesama kaum di negara ini lebih diperkukuhkan kerana mahu kelestarian di negara ini terus wujud.
“Jelajah itu akan dilakukan dalam masa terdekat ini dan saya sendiri akan turun jelajah ini di beberapa buah negeri” katanya dalam program ‘Jom Tengok Bola, Uniti Bersama Harimau Muda’ di Restoran Hakim, di sini, malam tadi.
Menurut beliau, terdapat beberapa aktiviti yang telah dirancang bagi jelajah tersebut, namun ia belum diputuskan lagi.
Kata Halimah, pihaknya akan menguar-uarkan lokasi siri jelajah berkenaan melalui laman sosial rasmi Kementerian Perpaduan Negara.
“Saya harap apabila jelajah ini tiba di sesebuah lokasi, ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum turut serta.
“Kita nak kumpul seramai mungkin rakyat Malaysia melakukan aktiviti yang dijalankan dalam jelajah ini,” harapnya. -KOSMO! ONLINE