SEPANG – Tindakan Amerika Syarikat (AS) begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan isu Ukraine diselar keras oleh Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) sebagai amat dwistandard.
Malah, Setiausaha Agungnya, Sheikh Dr. Ali Al-Quradaghi menyifatkan, sikap berat sebelah kuasa dunia itu menggambarkan kejayaan kuat para pelobi Israel dalam sistem politik AS.
“Ini sebenarnya merupakan salah satu bentuk amalan dwistandard secara terbuka oleh AS yang memang selama ini jelas suka berat sebelah jika melibatkan isu umat Islam,” tegasnya.
Beliau ditemui pemberita selepas hadir pada perasmian Sidang Kemuncak Ulama Islam 2022 anjuran oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Hotel Movenpick di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diwakili Penasihat Khas (Hal Ehwal Agama) beliau, Mejar Jeneral Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom merasmikan persidangan tiga hari itu.
Semalam, dunia gempar dengan tindakan AS membuka semula kedutaan negara itu di ibu kota Ukraine, Kyiv di sebalik operasi ketenteraan dilancarkan Russia sejak 24 Februari lalu.
Kuasa dunia itu tanpa rahsia menyalurkan dana AS$40 bilion (RM176 bilion) kepada Ukraine yang dianggap seperti proksi Barat bagi mengekang kemaraan pengaruh geopolitik Rusia.
Mengulas lebih lanjut, Ali yang diketahui sebagai pro-Russia menegaskan, tindakan AS adalah hasil permainan licik rejim Israel bijak mengatur ‘biduk percaturan’ di seluruh dunia.
“Padahal isu Palestin jauh lebih penting kerana penduduknya lebih 70 tahun dizalimi Israel tetapi mana suara AS yang konon pejuang hak asasi manusia,” kata beliau dalam nada sinis.
Sehubungan itu, Ali tanpa berselindung menganggap perangai jelik dasar luar AS dan Israel sebagai tidak boleh dipisahkan serta saling lengkap-melengkapi antara satu sama yang lain.
“AS itu ialah Israel dan Israel itu ialah AS kerana mereka berdua ini memang boleh diibaratkan seumpama dua jasad berbeza tetapi berkongsi satu roh yang sama,” tegas beliau.
Justeru, beliau meminta umat Islam khasnya generasi muda agar menguasai sains teknologi canggih dan komunikasi media kerana dua bidang itu mampu mengangkat martabat ummah.
Pada masa sama, komuniti Muslim sejagat perlu bersatu padu dan tidak terpengaruh dengan propaganda pihak tertentu yang cuba memecah-belahkan solidariti terutama isu Palestin. – KOSMO! ONLINE