KUALA LUMPUR – Seorang bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat yang merupakan individu pertama didakwa atas pertuduhan menyebabkan seorang kakitangan dipecat selepas memberikan maklumat mengenai salah lakunya kepada pihak berkuasa dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan itu.
Hakim Suzana Hussain membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Wafiy Abd Aziz, 37, yang merupakan bekas timbalan CEO syarikat Education Malaysia Global Services (EMGS) di akhir kes pendakwaan.
“Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan, autoriti undang-undang yang berkaitan, hujahan peguam bela dan pendakwa raya, mahkamah mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Dengan itu tertuduh diperintahkan untuk dilepaskan daripada pertuduhan dan wang jaminan RM15,000 dipulangkan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Wafiy didakwa telah mengambil tindakan yang memudaratkan seorang pemberi maklumat dengan cara mengapi-apikan Pengerusi EMGS, supaya menandatangani dokumen penamatan pekerjaan ke atas lelaki terbabit, sebagai suatu tindakan balas kerana pendedahan berkenaan kelakuannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Wafiy didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Education Malaysia Global Services di Jalan Mayang Sari di sini, 9 Januari 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10(3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10(6) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia merupakan individu pertama didakwa mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), sejak berkuat kuasa pada 2010.
Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan 17 saksi pendakwaan selepas dia dituduh pada 18 September 2020 dan mula dibicarakan 27 April 2021.
Antara saksi utama yang dipanggil ialah Pengerusi EMGS, Datuk Abdul Rahman Mohamed Sharif dan CEO EMGS, Shahinuddin Shariff.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Afif Ali.
Sementara itu, peguam, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu yang mewakili Wafiy mengucapkan kesyukuran kerana mahkamah telah memberi keadilan kepada anak guamnya.
“Sebelum ini anak guam kami berasa teraniaya kerana dia tidak mengapi-apikan sebarang pemecatan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan seorang pegawai kanan sebuah syarikat akan didakwa atas pertuduhan menyebabkan seorang kakitangan lain dipecat setelah memberikan maklumat kepada SPRM berkaitan salah laku yang dilakukan tertuduh.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya amat prihatin dengan masalah yang terpaksa dihadapi oleh pemberi maklumat sekiranya mereka dikenakan tindakan atas pendedahan jenayah rasuah yang dilakukan oleh pihak tertentu. – KOSMO! ONLINE