KOTA TINGGI – Luluh hati seorang ibu apabila anak perempuannya yang sebelum ini aktif tiba-tiba terlantar akibat penyakit neonatal stroke, seminggu sebelum sambutan Aidilfitri.
Neonatal stroke ialah satu keadaan di mana otak bayi mengalami hipoksia (kekurangan oksigen) akibat sumbatan pada pembuluh darah.
Kalimatussyakdiyah Sidat, 36, berkata, penyakit anaknya Dhia Carissa Azizi, 2, dikesan doktor ketika masih dalam kandungan dan pasukan perubatan turut memaklumkan anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak mempunyai peluang untuk hidup.
“Ketika itu usia kandungan saya lima bulan dan kami hanya tawakal sahaja ketika itu.
“Namun, kuasa Allah tiada siapa boleh melawan, ajaibnya bayi kami selamat dilahirkan dan sepanjang dua tahun kelahirannya, Dhia sangat aktif seperti kanak-kanak seusianya meskipun perkembangannya agak lambat,” katanya di sini.
Luah Kalimatussyakdiyah yang juga guru literasi, kesihatan Dhia merudum selepas diserang demam dan sawan pada penghujung Ramadan lalu dan dia terpaksa merujuk keadaan anaknya ke hospital selepas kesihatannya tidak pulih selama seminggu.
Jelasnya, lebih memeranjatkan selepas ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dilakukan, bahagian otak kanan Dhia dikesan telah dipenuhi air dan ia menghimpit sebahagian otak kirinya menyebabkan berlaku masalah saraf.
“Memang kami tidak menyangka bahawa air telah memenuhi bahagian kanan otaknya kerana kepalanya tidak membesar bahkan memang doktor berpesan agar sentiasa perhatikan ukur lilit kepalanya. Mungkin demamnya menjadi asbab untuk kami tahu keadaan terkini penyakitnya,” luahnya sebak.
Tambahnya, selepas 10 hari dirawat dan menyambut Syawal di hospital, Dhia dibenarkan pulang ke rumah, namun tidak boleh tidur di tilam dan hanya boleh melelapkan mata apabila ditolak di dalam kereta sorong bayi.
“Sejak keluar hospital Dhia susah untuk tidur mungkin kerana menahan sakit. Jadi cara untuk tidurkan dia hanya dengan cara menolaknya di dalam kereta sorong. Kadang kala hampir dua jam juga menolak barulah dia dapat lelapkan mata.
“Doktor juga telah memakaikan dia tiub saluran untuk memudahkan Dhia minum susu. Kami amat merindui keletah Dhia, malah abang-abangnya juga sering sahaja bertanya bila adik mereka akan kembali sihat,” katanya.
Sehubungan itu, bagi mereka yang mahu membantu meringankan beban keluarga tersebut boleh salurkan ke nombor akaun Maybank Kalimatussyakdiyah Sidat, 1510-7158-0805 atau hubungi 017-7497392. -KOSMO! ONLINE