KAJANG – Dianggarkan sebanyak 5,877 penagih yang telah selesai menerima rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kembali menagih pada setiap tahun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, bagaimanapun, jumlah itu adalah daripada 15,000 penagih secara purata yang telah selesai menerima rawatan pemulihan.
Menurutnya, kadar pemulihan penagih di AADK pada setiap tahun merekodkan kira-kira 65 peratus.
“Beberapa faktor telah dikenalpasti menyebabkan individu ini kembali menagih, termasuklah kurang mendapat perhatian dan sokongan keluarga termasuk sikap individu itu sendiri dan
pengaruh kawan-kawan.
“Sehubungan itu, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap individu yang terlibat dengan permasalahan dadah mendapat akses kepada perkhidmatan rawatan dan
pemulihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Mobile Recovery Treatment di bawah Program Rawatan dan Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (MRT AADK) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, MRT AADK yang dilancarkan hari ini bertujuan memberi khidmat kepada golongan yang mempunyai kekangan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah di fasiliti AADK.
Jelasnya, perkhidmatan itu disediakan di luar premis AADK dan akan dilaksanakan oleh pasukan MRT AADK di 14 buah pejabat AADK di seluruh negara.
“Setakat ini, dua buah pasukan MRT AADK yang terdiri daripada pegawai yang berkemahiran dalam rawatan dan pemulihan penagihan dadah telah dibentuk di setiap negeri.
“Projek rintis MRT AADK ini telah dilaksanakan kepada banduan yang terlibat dengan penagihan dadah pada tahun 2021 dan mendapat respons yang baik daripada banduan yang terlibat,” ujarnya.
Hamzah berkata, kerjasama antara AADK dan Jabatan Penjara Malaysia juga merupakan satu pendekatan penyelesaian masalah atau bagi mengatasi masalah banduan dadah yang kembali menagih.
“Ia juga bagi meningkatkan kadar pematuhan mereka untuk menghadiri Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dalam Komuniti AADK selepas mereka dibebaskan kelak,” katanya. – KOSMO! ONLINE