PETALING JAYA – Zurich Malaysia melancarkan Zurich Takaful Al-Shams, pelan takaful keluarga dengan ciri penerimaan terjamin yang memberi peluang kepada pelanggan untuk menunaikan kewajipan terhadap keluarga dan menghadiahkan hibah untuk orang tersayang.
Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, Nazrul Hisham Abd. Hamid berkata, pelan baharu itu diperkenalkan tepat pada masanya kerana ia menawarkan proses pendaftaran yang mudah kepada pelanggan.
Menurut beliau, melalui penggunaan teknologi, pelanggan mempunyai pilihan untuk mendaftar melalui sesi online dengan ejen dan mengesahkan dokumen melalui tandatangan maya berciri Tandatangan Jarak Jauh (Remote Signature).
“Pelan ini juga direka bagi membantu masyarakat memulakan perancangan untuk masa depan keluarga daripada serendah RM1.67 sehari.
“Caruman bulanan sebanyak RM50 juga bukan sahaja akan memberi perlindungan asas tetapi juga manfaat tambahan yang dapat membantu memberikan ketenangan fikiran,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Nazrul Hisham menerangkan, kelebihan aspek kemudahan ini ditekankan dengan ciri penerimaan terjamin, yang mana pelanggan tidak perlu melakukan pemeriksaan perubatan untuk layak mendapat perlindungan.
Sehubungan itu, mereka dapat menjimatkan masa dengan tidak perlu berkunjung ke fasiliti penjagaan kesihatan untuk membuat pemeriksaan bersama keluarga.
Tambah Nazrul Hisham, pelan ini juga menyediakan perlindungan merangkumi tiga aspek kematian akibat kemalangan am tanpa mengira situasi, pengangkutan awam dan kematian akibat kemalangan di luar negara.
Manfaat kematian akibat kemalangan turut diberikan kepada sehingga empat orang ahli keluarga.
Tersedia dalam pelan asas tanpa memerlukan rider tambahan juga akan dapat membantu mengurangkan ketidakpastian kehidupan dan meringankan komitmen kewangan.
Selain itu, jelasnya, manfaat Zurich Takaful Al-Shams juga adalah termasuk manfaat hilang upaya keseluruhan dan kekal (HUKK) sehingga umur 75 tahun dan perlindungan berterusan dengan manfaat Hilang Upaya Warga Emas (HUWE) sehingga akhir tempoh sijil, Pemulihan Tahunan HUKK serta Manfaat Ihsan. -KOSMO! ONLINE