PUTRAJAYA – Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) mahu menjuarai semua kategori yang dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XX, Majlis Sukan Negara (MSN) 2022 pada September depan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan komitmen pasukannya yang mahu menjadi negeri paling banyak mendapatkan pingat terutama emas berdasarkan kejayaan WiPers muncul naib juara sebelum ini.
Katanya, pihaknya sudah menyusun pelbagai strategi dan pendekatan yang mampu memantapkan atlet sedia ada.
“Apabila kita masuk sesuatu pertandingan, kita mahu menjadi johan dan melihat penampilan atlet serta pengurusan WiPers, sudah pasti untuk menjuarai semua kategori tidak menjadi masalah.
“Buat masa ini, kita ada 587 atlet melibatkan 31 acara dan kita akan melakukan penyusanan atlet bagi membolehkan apa yang disasarkan tercapai,” katanya hari ini.
Beliau ditemui selepas majlis penyerahan watikah pelantikan Pengurus SUKMA XX, MSN 2022 di Menara Seri Wilayah di sini.
Dalam majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar dilantik sebagai Ketua Kontinjen WiPers untuk temasya SUKMA XX, MSN 2022.
Turut dilantik tiga Timbalan Ketua Kontinjen iaitu Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Sulaiman Mohamed; Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat) Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd. Ismail.
Sementara itu Pengarah MSN Wilayah Persekutuan, Dr. Hasnul Faizal Hussin Amri berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat pada Julai ini untuk menyusun dan memuktamadkan atlet bagi membolehkan proses latihan yang dirancang berjalan lancar.
“Mesyuarat ini bagi menyemak kategori apa yang dipertandingan kerana dalam mesyuarat MSN terdahulu, ada sukan yang tidak dipertandingkan berikutan tiada pembabitan negeri lain.
“Bulan Mei dan Jun ini adalah tempoh kritikal untuk semua atlet.. Disusuli program khas, kita akan menilai mereka yang berpotensi bagi memastikan SUKMA ini milik Wilayah Persekutuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE