NEW ORLEANS, Louisiana – Seorang wanita berpeluang menikmati saat-saat istimewa menerima skrol diploma apabila ia dilakukan di hospital sejurus dia selamat melahirkan anak, lapor laman berita India Today, semalam.
Jada Sayles, dari negeri Louisiana, Amerika Syarikat sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen pada 14 Mei lalu, namun dia dimasukkan ke hospital pada 13 Mei kerana sudah mengalami tanda-tanda mahu bersalin.
Presiden Universiti Dillard, Dr. Walter M. Kimbrough mengambil keputusan untuk membuat kejutan kepada pelajar itu dengan membawa skrol diploma dan jubah graduasi Sayles ke hospital.
“Saya menerima teks pesanan daripada Sayles pada 13 Mei yang menyatakan dia sudah dimasukkan ke hospital untuk bersalin dan dimaklumkan bayi lahir pada 14 Mei, tarikh konvokesyen sepatutnya berlangsung.
“Saya tidak mahu Sayles terlepas momen graduasi, maka pihak universiti mengunjunginya di hospital untuk mengadakan sesi penyerahan skrol istimewa,” kata Kimbrough. – Agensi