BEIJING – Seorang wanita di China telah menghantar lebih 30,000 pesanan ‘selamat malam’ selepas mengendalikan perkhidmatan tersebut sejak 10 tahun lepas, lapor laman Mothership.
Dikenali sebagai Jiu Mei, wanita ini mula menjual teks selamat malam pada 2012 apabila dia dihantui masalah kesunyian dan insomnia.
Jiu Mei berkata, dia menghargai kepercayaan orang yang tidak dikenali dan dapat memberikan perasaan gembira kepada mereka sambil mengurangkan kesepiannya.
Dengan harga S$0.21(93 sen) bagi setiap teks, pelanggan boleh memesan teks selamat malam selama seminggu, sebulan atau setahun.
Tambah Jiu Mei, dia tidak menetapkan sebarang format tetap untuk teks selamat malam yang dihantar.
Kadangkala, dia hanya menghantar mesej “Selamat Malam” dengan emoji muka tersenyum, dan ada masanya, dia akan berkongsi cerita serta ‘mood’ sendiri ketika itu.
Jika pelanggan mempunyai permintaan khas, dia akan membuat teks mengikut cerita mereka.
Setiap malam sekitar pukul 10, Jiu Mei akan memulakan kerjanya. Dia memperuntukkan masa selama lima minit bagi setiap teks dengan mesej teks terpanjangnya mempunyai lebih 200 aksara Cina.
Buat masa ini, Jiu Mei menerima kira-kira 40 pesanan setiap malam dan semasa tempoh puncak, dia menghantar lebih 300 mesej teks dalam sehari. – Agensi