BANGKOK – Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) menjangkakan negara itu akan menerima kemasukan satu juta pelancong asing menjelang akhir Mei ini, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Thailand menyaksikan peningkatan mendadak dalam sektor pelancongan sejak program Test & Go dan syarat kemasukan lain semasa pandemik dibatalkan awal Mei lalu.
Dilaporkan seramai 966,686 pelancong antarabangsa tiba di Thailand setakat 11 Mei tahun ini.
TAT menjangkakan ketibaan pelancong ke sejuta menjelang akhir bulan ini. Pada 2021, hanya 428,000 warga asing mengunjungi Thailand sepanjang tahun berkenaan.
Sektor pelancongan dilihat meningkat sejak negara itu membatalkan program Test & Go pada 1 Mei lalu.
Program mewajibkan pelancong menjalani ujian saringan Covid-19 semasa ketibaan itu telah menakutkan pelancong. Situasi itu diburukkan oleh berita mengenai pelancong yang didapati positif Covid-19 terpaksa membayar caj tinggi untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.
Penamatan ujian semasa ketibaan telah meningkatkan kehadiran pelawat seperti yang dijangkakan. Semasa era sebelum pandemik, kira-kira 110,000 pelancong tiba di Thailand setiap hari dengan anggaran 3.3 juta pelancong sebulan.
Jika penggunaan pas kemasukan ke Thailand dibatalkan pada 1 Jun ini, perjalanan ke negara itu akan menjadi semakin mudah.
Pelancong asing ketika ini dikehendaki memuat naik sejarah vaksinasi dan juga bukti insurans Covid-19 .
Pelawat yang tidak divaksinasi pula perlu mengemukakan bukti keputusan negatif ujian RT-PCR yang diambil dalam masa 72 jam sebelum tiba di Thailand.
Pas kemasukan itu menjadi penghalang utama kepada industri pelancongan di Thailand ketika ini. – Agensi