fbpx

Sukar disebut, Benedict Cumberbatch hampir tukar nama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BENEDICT CUMBERBATCH

SEBELUM membina jenama sebagai Doctor Strange atau Dr. Stephen Strange, aktor berkaliber, Benedict Cumberbatch barangkali sama seperti pelakon lain yang memasang impian untuk sekurang-kurangnya dikenali dengan impak cukup membekas dalam kalangan peminat filem Marvel Cinematic Universe (MCU).

Pemilik nama lengkap Benedict Timothy Carlton Cumberbatch itu mendedahkan bahawa sebelum Doctor Strange, dia pernah menerima tawaran terlibat dalam filem Thor: The Dark World memainkan peranan villain, Malekith.

Ujar Benedict, 45, dalam satu wawancara bersama BBC Radio 1, dia tidak mahu tergesa-gesa dan menanti sesuatu yang lebih meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa penonton, sekali gus memberi warna luar biasa dalam kanvas seninya sebagai seorang aktor.

Hampir jadi ‘Malekith’

“Peluang melakonkan watak Doctor Strange berlaku selepas satu tawaran yang barangkali saya tidak endahkan sebelum itu. Iaitu satu karakter yang saya hampir jayakan dalam sebuah lagi filem MCU.

“Satu watak yang barangkali hanya sekilas pandang dan orang takkan ingat (merujuk Malekith).

“Saya berani menolak tawaran tersebut dengan berkata, saya berbesar hati dipelawa ke filem berkenaan tetapi lebih rela menolak dan menunggu sesuatu yang lebih berbaloi,” katanya dalam temu bual terbabit.

WATAK Dr. Strange yang dijayakan Benedict dalam filem terbitan MCU, Dr. Strange benar-benar meninggalkan impak buat karier seninya.

Barangkali, Benedict merupakan antara pelakon di Hollywood yang sangat mudah menarik perhatian ramai. Bukan hanya dengan karisma dirinya sebagai seorang lelaki dan aktor, namanya juga senang menjadi perbualan dan perdebatan dalam kalangan peminat.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa sebelum dikenali dengan nama pentas ‘Benedict Cumberbatch’, lelaki berkenaan pernah berkira-kira menggunakan nama glamor lain, antaranya, Benedict Carlton.

Nama sukar disebut

Hal ini kerana, dia sendiri beranggapan bahawa nama yang digunakan sekarang sukar disebut dan kedengaran seperti bunyi kentut dalam tab mandi. Sungguhpun begitu, nasib baik pengurusnya ketika itu berjaya meyakinkannya bahawa nama berkenaan akan membawa tuah dalam kerjaya seninya.

“Cumberbatch, kedengaran seperti bunyi kentut dalam tab mandi (kalau ingin disebutkan), tidakkah anda rasa begitu? Nama lama yang sangat janggal. Saya takkan pernah berjaya mengucapkannya pada hari pertama (Isnin) setiap minggu.

“Apabila saya cakap dengan ibu yang saya nak jadi seorang aktor, dia tak berminat jika saya menggunakan nama tersebut,” ujarnya dalam satu temu bual dalam program bual bicara, The Late Late Show dikendalikan hos, James Corden.

BAGI sesetengah pelakon, nama pentas yang digunakan membawa tuah buat mereka. Berbeza dengan Benedict, dia pernah berasa ‘malu’ menggunakan nama sendiri kerana bunyinya seperti kentut di dalam tab mandi.

Apabila difikirkan kembali, nama ‘Benedict Cumberbatch’ memang sukar untuk diucapkan dan buat orang yang tidak biasa melafazkannya, barangkali akan berbelit lidah terutama apabila dilantunkan dengan pantas.

Jika difikirkan kembali lagi, fenomena Benedict Cumberbatch melangkaui kesukaran seseorang melafazkan namanya tetapi disebabkan dia sememangnya dilahirkan untuk menjadi seorang penghibur.

Bukan hanya popular tetapi sering melahirkan produk seni berkualiti sehingga dua kali pernah dicalonkan sebagai pelakon terbaik Academy Awards.

Dalam cabang lakonan, tidak semua orang di dadanya dipenuhi dengan ilmu. Ada kelompok pelakon yang memang hanya ingin berperanan sebagai pemain wayang, disimbahi cahaya glamor. Cukup itu sahaja.

Buat Benedict, dia sudah bertemu dengan pelbagai jalan kehidupan yang mematangkan sekali gus menyelaraskan pilihan hidupnya yang kini tertumpu sebagai seorang anak seni hebat.

Sebelum menjadi seorang pelakon, dia hampir terjerumus dalam profesion pengamal undang-undang atau seorang peguam disebabkan desakan orang tuanya.

Peguam, guru Inggeris

“Pada mulanya, lakonan terasa sangat ganjil buat saya. Dengan karier ini, susah sebenarnya nak merancang keluarga apatah lagi apabila mengetahui pendapatan tak tetap berbanding kerjaya lain.

“Ada masanya, saya memasang impian nak jadi seorang majistret dan orang tua saya memang sanggup melabur wang mereka untuk ke arah itu.

“Kalaulah saya berjaya menjadi seorang pengamal undang-undang, pastinya mereka (ibu bapa) gembira tetapi sekarang saya jadi seorang aktor, saya rasa mereka pasti berbangga juga,” katanya yang merupakan anak kepada pasangan pelakon Inggeris, Wanda Ventham dan Timothy Carlton.

SUATU hari nanti, Benedict memasang impian membawa watak sebagai seorang pengamal undang-undang dalam layar lakonan.

Tutur Benedict, sebab mengapa dirinya sangat tertarik dalam bidang guaman atau undang-undang adalah kerana dia begitu meminati dunia jenayah. Harapannya suatu hari nanti, dia berpeluang mencernakannya dalam bentuk sinematik atau lakonan.

Selain memasang impian menjadi seorang pengamal undang-undang, Benedict juga pernah bekerja sebagai seorang pendidik selama setahun di India.

Katanya, dia pernah bekerja sebagai seorang guru Inggeris di Darjeeling, India. Kongsinya: “Saya ambil ‘cuti’ selama setahun. Pada mulanya, saya hanya mahu merehatkan minda tetapi berputik hasrat nak mengajar di sana. Satu pengalaman yang berharga dan saya banyak belajar perkara di sana.

“Di sana saya belajar meletakkan fokus di tempat yang betul. Selain diri sendiri, saya juga menyumbang untuk orang lain atau masyarakat di sana. Seronok sebab berada di kejauhan modernisasi dan teknologi.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI