fbpx

Sindiket pecah rumah tumpas, suspek miliki 32 rekod jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eng Lai (kiri) menunjukkan peralatan yang digunakan suspek untuk pecah masuk rumah mangsa pada sidang akhbar, di IPD Sentul hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket yang aktif dengan kegiatan pecah rumah di Lembah Klang sejak dua tahun lalu dengan penahanan tiga lelaki tempatan pada 16 Mei lalu.

Tiga suspek yang berusia lingkungan 37 hingga 43 tahun itu diberkas dalam tiga serbuan berasingan di Selayang, Kajang dan Seri Kembangan, Selangor,

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung satu kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Taman Mastiara, di sini pada 14 Mei lalu.

“Semasa kejadian, seorang wanita warga emas berusia 82 tahun berada di dalam rumah berkenaan, bagaimanapun dia tidak diapa-apakan oleh suspek.

“Suspek bertindak melarikan komputer riba, tablet, empat jam tangan, beberapa keping kad bank, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM6,200 membabitkan kerugian kira-kira RM20,000,” ujarnya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, dekat sini hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian itu, pihak polis membuat serbuan di tiga lokasi di Selangor dan berjaya mencekup tiga lelaki tempatan.

“Polis turut merampas beberapa peralatan, antaranya empat telefon bimbit, beberapa barang kemas, dua jam tangan, tiga beg berjenama, tiga komputer riba, tiga tablet serta pakaian digunakan suspek ketika kejadian,” ujarnya.

Jelas beliau, modus operandi sindiket itu adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan memanjat pagar rumah mangsa yang terletak di kawasan terpencil sebelum memotong pagar jeriji.

Katanya, semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah termasuk seorang daripada mereka mempunyai 32 rekod jenayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI