SAINGAN Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia bermula Isnin ini merupakan platform terbaik buat penyerang muda skuad hoki negara, Shello Silverius menunjukkan kemampuannya.
Shello, 23, mendapat pujian tinggi daripada ketua jurulatih Malaysian Tigers, Arul Selvaraj yang kagum melihat perkembangannya terutama dalam sesi latihan sebelum berlepas ke Jakarta baru-baru ini.
Bagi Arul, penyerang dari Sabah itu adalah salah seorang penggempur utama di bahagian serangan berdepan cabaran Kumpulan B menentang Korea Selatan, Oman dan Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno nanti.
“Shello berbakat, muda dan bertenaga serta mempunyai kekuatan fizikal. Dia paling cergas, rajin dan sentiasa mencapai markah tertinggi berdasarkan laporan GPS dalam latihan.
“Saya agak keras dengannya sewaktu awal sesi latihan tetapi dia tunjukkan kematangan yang bagus. Buat masa ini, dia adalah salah seorang penyerang utama di bahagian depan,” kata Arul.
Selain Shello, jentera serangan skuad negara turut diperkuatkan dengan kehadiran Muhammad Shahril Saabah, Norsyafiq Sumantri, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan penggempur utama, Faizal Saari.
Malaysian Tigers memasang misi untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik bagi melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2023 yang akan diadakan di India dari 13 hingga 29 Januari tahun depan.
Sebagai rekod, skuad negara akan membuka tirai Piala Asia 2023 menentang Oman pada Isnin ini diikuti Korea Selatan (Selasa) sebelum melengkapkan saingan Kumpulan B berdepan Bangladesh (Khamis). – KOSMO! ONLINE