HANOI – Jaguh renang sensasi Singapura, Joseph Schooling memberi bayangan bersedia membuat satu lagi penampilan di Sukan SEA sebelum menutup kariernya dalam temasya berprestij Asia Tenggara itu.
Juara Olimpik berusia 27 tahun itu dikatakan masih tidak berpuas hati dengan prestasinya apabila sekadar memenangi dua pingat emas dan satu gangsa pada edisi Sukan SEA Vietnam 2021.
Ia sememangnya sesuatu yang mengejutkan kerana Schooling adalah salah seorang atlet paling berjaya di pentas Sukan SEA dengan keseluruhan 29 pingat emas, tiga perak dan satu gangsa sejak 2011.
“Saya perlu merangka perancangan untuk baki tahun ini selepas Sukan Asia ditunda. Jadi, saya masih perlu mencari pertandingan-pertandingan supaya saya dapat menilai kemampuan saya.
“Sudah tentu ada perkara-perkara positif dan pada masa sama aspek-aspek yang boleh ditingkatkan daripada Sukan SEA kali ini.
“Cumanya saya tidak pasti lagi bagaimana, kita tunggu dan lihat sahaja. Mungkin untuk satu lagi Sukan SEA (Sukan SEA Kemboja 2023),” kata Schooling.
Pada edisi kali ini, dua pingat emas dimenangi Schooling hadir menerusi 100 meter (m) kuak kupu-kupu dan 4x100m medley berganti-ganti, manakala satu gangsa melalui acara 4x200m gaya bebas berganti-ganti.
Schooling sepatutnya memenangi satu lagi pingat emas dalam acara 4x100m gaya bebas berganti-ganti, tetapi ia dibatalkan kerana kesalahan teknikal yang dilakukan oleh salah seorang perenang negara itu. – AGENSI