RANTAU PANJANG – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah rumah kedai yang dijadikan stor untuk menyimpan sebanyak 4.29 juta batang rokok seludup bernilai lebih RM3.21 juta di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor dekat Tumpat awal pagi tadi.
Serbuan dijalankan kira-kira pukul 3.30 pagi selepas Batalion 9 PGA menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan rokok di kawasan berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa serbuan, anggota PGA mendapati pintu hadapan rumah kedai itu berada dalam keadaan tidak berkunci.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam premis itu telah menjumpai kotak-kotak yang mengandungi rokok yang dipercayai diseludup dari Thailand.
“Anggota PGA menunggu selama satu jam di premis berkenaan namun, tiada individu yang tampil untuk menuntut kesemua rokok-rokok itu.
“Kita tidak menolak kemungkinan rumah kedai tersebut dijadikan sebagai stor penyimpanan sebelum rokok tersebut dibawa ke lokasi lain,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PGA, Lubok Stol di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.