fbpx

Pegawai Jakoa dituduh terima suapan RM300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Akmi dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa atas pertuduhan menerima suapan di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Padah menerima suapan berjumlah RM300, seorang Penolong Pegawai Pertanian di Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah Lipis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini.

Bagaimanapun tertuduh, Ahmad Akmi Mohamad yang berhadapan dua pertuduhan mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, Ahmad Akmi didakwa menerima ​suapan ​wang tunai ​tanpa balasan ​sebanyak RM200 daripada individu diketahuinya mempunyai ​hubungan ​​kerja​-kerja​ ​​rasminya​ sebagai Penolong Pegawai Pertanian ​di Jakoa ​Lipis​.

Tertuduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah kedai mamak Tempoyang di Kuala Lipis, ​​kira-kira pukul 4 petang pada 5 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh sekali lagi didakwa menerima ​suapan ​tanpa balasan ​wang tunai bernilai RM100 melalui mesin deposit tunai ​​berdasarkan perkara dan individu yang sama di Bank CIMB cawangan Mentakab, kira-kira pukul 1 tengah hari pada 7 Januari lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dengan beberapa syarat termasuk perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sehingga perbicaraan kes itu selesai serta menyerahkan dokumen perjalanan.

Mahkamah menetapkan 20 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI