fbpx

Mayat pegawai kanan Jabatan Imigresen ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba membawa naik mayat mangsa selepas dijumpai terapung di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Penambang, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Mayat seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan yang terjun ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini pada Isnin lalu ditemui hari ini.

Jenazah Mohd. Khairulnizam Omar, 46, dijumpai dalam keadaan terapung di sekitar kawasan Kampung Penambang di sini iaitu kira-kira empat kilometer dari lokasi dia dipercayai terjun kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Kakak mangsa, Kamariati Othman, 56, berkata, dia dan keluarga amat bersyukur dengan penemuan mangsa selepas hampir tiga hari hilang selepas dipercayai lemas di Sungai Kelantan.

Katanya, pengesahan dan pengecaman mayat adiknya itu turut dibuat oleh salah seorang ahli keluarganya ketika jenazah mangsa dibawa naik dari kawasan ditemui oleh pasukan penyelamat.

“Ahli keluarga kami sudah membuat pengecaman mayat Mohd. Khairulnizam atau dipanggil Adik Yo. Memang sah itu mayatnya kerana mayat itu lengkap berpakaian baju kerja.

“Keadaan mangsa seperti sedang tidur malah badannya juga tidak mengalami kecederaan teruk. Kami amat bersyukur dan menerima takdir kematian adik dan sekurang-kurangnya ada tanda kubur untuk mengebumikannya nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambahnya, jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPPZ II) di sini untuk dibedah siasat dan akan dikebumikan selepas solat isyak hari ini di Tanah Perkuburan Islam di Paloh Tetian, Pasir Mas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya mengesahkan mangsa yang dijumpai itu merupakan mayat Mohd. Khairulnizam.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke HRPZ II untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI