fbpx

Lelaki maut jatuh apartmen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GOMBAK – Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh dari Apartmen Sri Gohtong, Medan Batu Caves, Selayang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, Bilik Gerakan daerah telah menerima panggilan kecemasan MERS 999 lebih kurang pukul 2.21 petang daripada seorang lelaki tempatan memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan awal dan pemeriksaan ke atas mangsa yang dipercayai berusia 20-an tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan lanjut telah menjumpai barang-barang peribadi disyaki milik mangsa iaitu satu unit telefon bimbit jenis Vivo, satu unit fon telinga dan satu cermin mata hitam yang telah pecah,” ujarnya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Menurutnya, pihak polis turut menerima satu dompet dan serangkai kunci motosikal yang diserah oleh orang awam disyaki milik mangsa yang dijumpai di tangga blok B, tingkat lapan di kawasan kejadian.

“Pemeriksaan ke atas dompet mangsa menjumpai wang tunai RM639 dan satu tangkal kain kuning yang mempunyai tulisan Cina.

“Hasil semakan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati mangsa telah terjatuh dari bangunan tersebut pada pukul 1.46 petang,” ujarnya.

Jelas beliau, pasukan Forensik Selangor turut hadir di lokasi kejadian untuk melakukan siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Selayang untuk tujuan bedah siasat.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat lengkap diperoleh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI