JERANTUT – Pengguna di bandar ini terpaksa menghadapi ‘krisis’ ayam selepas kesemua lapan buah kedai di Pasar Besar Jerantut yang menjual makanan mentah itu terpaksa ditutup semalam berikutan tidak menerima sebarang bekalan yang ditempah.
Difahamkan, lapan unit kedai yang menjual ayam itu terpaksa ditutup sejak beberapa hari lalu selepas pembekal tidak menghantar bekalan ayam segar.
Seorang pengguna, Siti Hozam Omar, 57, berkata, dia sentiasa mendapatkan bekalan ayam di pasar besar berikutan jaminan ayam yang lebih bersih dari sudut penyembelihan dan pemprosesan.
Namun semalam, katanya, dia terkejut apabila melihat kesemua kedai ayam di Pasar Besar Jerantut tidak beroperasi.
“Saya difahamkan kesemua kedai ayam ini tutup berikutan bekalan ayam yang tidak mencukupi.
“Tidak pasti sehingga bila, mungkin esok saya akan datang semula untuk membeli ayam,” katanya yang menetap di Taman Teratai, kira-kira 1.4 kilometer dari Pasar Besar Jerantut.
Katanya, ketiadaan ayam di Pasar Besar Jerantut menimbulkan kebimbangan kerana bekalan ayam merupakan makanan penting yang perlu ada di rumahnya setiap hari.
“Saya dapat tahu harga sudah semakin mahal, sekarang saya sudah tidak runsing lagi pasal harga, yang penting saya dapat beli ayam segar,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Rahmat Sufy, 33, berkata, penduduk di sekitar bandar itu terpaksa menghadapi ‘krisis’ bekalan ayam segar tersebut mungkin disebabkan manipulasi pasaran oleh pihak tertentu.
“Saya meminta agar kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat manipulasi daripada pihak tertentu yang mahu untung lebih sehingga menyukarkan kehidupan orang ramai,” katanya.