MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri mengesahkan penutupan kilang pengeluar ayam di Jasin adalah disebabkan berat ternakan tidak mencapai berat matang untuk pasaran.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pemeriksaan berhubung isu tersebut telah dilakukannya sendiri bersama-sama sepasukan lima penguat kuasa kira-kira pukul 1 petang semalam sejurus menerima memo daripada syarikat terbabit.
Jelasnya, proses timbang ayam telah dijalankan di ladang dan mendapati rata-rata berat ternakan hanyalah sekitar 1.1 kilogram (kg) hingga 1.2 kg, sekali gus tidak menepati berat matang standard bagi pasaran iaitu 1.8 kg seekor.
“Kita ada menerima memo daripada pihak syarikat mengenai penutupan operasi pada Sabtu dan Ahad ini atas sebab ayam-ayam hidup mengalami pertumbuhan lebih lambat serta berat tidak mencapai kadar.
“Jadi, kita telah ke kilang tersebut dan mendapati keadaan fizikal ayam itu memang kecil dengan hanya mencapai berat 1.1 kg hingga 1.2 kg, tidak sesuai untuk dijual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pengguna Bestari, Sentuhan Kasih Aidilfitri KPDNHEP Melaka, di Ayer Keroh, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE.