PETALING JAYA – DOC2US, penyedia perkhidmatan e-preskripsi pertama di Malaysia, telah bekerjasama dengan Watsons Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan maya melalui sistem jabat tangan yang komprehensif.
Pengarah Urusan Watsons Malaysia, Caryn Loh berkata, kerjasama tersebut dijangka membawa integrasi yang lebih lancar antara farmasi dan pengamal perubatan di seluruh rantau ini.
Menurut beliau, melalui sistem e-preskripsi DOC2US yang ditandatangani secara digital, farmasi seperti Watsons akan dapat mengeluarkan ubat yang dipreskripsi secara elektronik oleh doktor bertauliah dan berlesen daripada DOC2US.
“Kami berbangga untuk melancarkan satu lagi penyelesaian inovatif kepada pelanggan dan ahlinya melalui perkongsian strategik ini.
“Pelanggan kami boleh menggunakan aplikasi mudah alih Watsons Malaysia untuk berbual dengan doktor daripada DOC2US dan mendapatkan e-preskripsi segera untuk ubat-ubatan yang akan dikeluarkan di kedai farmasi kami.
“Mereka kemudiannya boleh mengambil ubat di kedai yang dipilih,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama, DOC2US, Dr. Raymond Choy menjelaskan, perkongsian dengan Watsons adalah langkah penting untuk merapatkan jurang antara doktor dan komuniti farmaseutikal.
“Doktor dan ahli farmasi adalah dua sisi syiling yang sama dan seharusnya tidak ada konflik kepentingan yang ketara jika kita melihat gambaran yang lebih besar dengan mengambil kira kepentingan terbaik pesakit.
“Walaupun peranan dan tanggungjawab mereka digariskan dengan jelas, pemeriksaan kesihatan secara konvensional dilakukan bukan sahaja di klinik dan hospital tetapi juga di makmal serta farmasi pada masa kini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE