LONDON – Perkhidmatan cuaca Britain mendapati kemungkinan barat laut India dan Pakistan dilanda gelombang haba paling buruk, meningkat lebih 100 kali ganda akibat perubahan iklim dunia, lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.
Rantau itu kini menjangkakan gelombang haba dengan suhu lebih tinggi daripada suhu tertinggi yang dicatatkan pada 2010, berlaku selang tiga tahun.
Kajian oleh Jabatan Meteorologi itu mendedahkan bahawa tanpa perubahan iklim, suhu melampau seperti yang dijangkakan hanya berlaku sekali setiap 312 tahun.
Laporan itu dibuat ketika pakar-pakar cuaca memaklumkan bahawa suhu di barat laut India berpotensi mencecah paras tertinggi baharu dalam masa beberapa hari akan datang.
Gelombang haba menjelang musim hujan yang melanda rantau itu sejak beberapa minggu lalu dilaporkan sedikit reda sejak Pakistan mencatat suhu ekstrem 51 darjah Celsius Sabtu lalu.
Namun, suhu panas diramal meningkat semula lewat minggu ini, demikian amaran oleh Unit Bimbingan Global Jabatan Meteorologi.
Menurutnya, suhu maksimum 50 darjah Celsius dijangka di beberapa kawasan di rantau berkenaan.
“Gelombang haba sentiasa menjadi ciri cuaca sebelum musim hujan bermula.
“Namun, kajian kami mendapati kemungkinan gelombang haba untuk mencatat suhu tertinggi meningkat lebih 100 kali ganda,” kata ketua kajian, Dr. Nikos Christidis.
Ia adalah berdasarkan analisis gelombang haba yang melanda barat laut India dan Pakistan pada April dan Mei 2010, apabila rantau itu merekodkan suhu purata dua bulan tertinggi sejak tahun 1900. – Agensi