PASIR PUTEH – Kehadiran sekumpulan babi hutan yang berlegar-legar di kawasan rumah dan kebun sejak sebulan lalu menimbulkan kebimbangan penduduk di Kampung Saring di sini.
Babi-babi hutan itu langsung tidak mengendahkan penduduk yang bertindak menghalau haiwan tersebut semasa mencari makanan di kampung tersebut.
Seorang penternak kelulut, Raja Solehuddin Raja Karim, 44, berkata, babi sering menceroboh kawasan ternakan kelulutnya tanpa mengira waktu sama ada siang atau malam.
Menurutnya, kehadiran haiwan liar dari hutan berdekatan itu menyebabkan sarang kelulut yang diperbuat daripada batang kayu lama miliknya sering tumbang akibat disondol.
“Saya khuatir lebah kelulut akan meninggalkan sarangnya apabila sering terbalik terutamanya ketika hujan lebat.
“Ikutkan hati, mahu saja saya bunuh haiwan itu dengan umpan racun, namun tidak sampai hati untuk berbuat demikian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Saring di sini semalam.
Raja Solehuddin yang mengusahakan ternakan 100 sarang kelulut sejak 15 tahun lalu berharap pihak berwajib tampil membantu menghalau atau menangkap haiwan liar itu.
Seorang lagi penduduk, Raja Ibrahim Raja Ismail, 70, berkata, halaman rumahnya sering menjadi tempat ‘lepak’ babi hutan terutamanya pada waktu malam.
Menurutnya, haiwan liar itu berkemungkinan keluar ke kawasan rumah penduduk selepas beberapa tempat di kampung itu telah diteroka untuk tujuan pembangunan.
Katanya, usaha perlu dilakukan segera untuk menghalau babi yang berkeliaran kerana dikhuatiri akan merosakkan tanaman di kawasan kebun berdekatan.