GEORGE TOWN – Penggemar durian duri hitam (black thorn) atau orchee di negeri ini sanggup mengeluarkan wang simpanan RM300 semata-mata mahu menikmati hanya sebiji raja buah itu sebaik luruh buat kali pertama bermula bulan ini.
Rata-rata peminat buah tempatan dari Balik Pulau itu mengatakan yang mereka tidak mahu menunggu lama untuk menikmati lambakan buah itu mulai Jun ini selain menganggap diri paling bertuah apabila berpeluang menikmati buah ‘mula’ bagi musim ini.
Seorang eksekutif syarikat swasta, Aidil Iman Irsyad, 40, berkata, dia sanggup meredah kesesakan jalan raya dan menyeberangi Jambatan Pulau Pinang dari arah Bukit Mertajam ke Balik Pulau demi menikmati sebiji durian duri hitam.
Akuinya, jarak 110 kilometer dari kediamannya bukan menjadi penghalang untuk mendapatkan buah istimewa yang ditunggu-tunggu setiap tahun.
“Selain rasanya yang enak dan buahnya lain daripada lain, saya sanggup laburkan wang yang banyak dan dikatakan tidak masuk akal semata-mata kerana sebiji buah durian tersebut.
Berita berkaitan: Durian black thorn jadi buruan VIP
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, mereka yang berpeluang menikmati duri hitam pertama (awal musim) dianggap paling bertuah dan ‘ong’. Ini kerana, tidak semua peminat dapat merasai kenikmatan isinya sebelum buah itu luruh sepenuhnya Jun nanti,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Sementara itu, seorang lagi peminat duri hitam, Ahmad Azrizal Tahir, 40-an, berkata, belum sesuai masanya lagi untuk para penggemar buah itu membelinya ketika ini disebabkan harganya yang terlalu tinggi.
“Memang terpaksa gigit jari untuk sementara waktu bagi menanti berlakunya lambakan buah duri hitam pada pertengahan Jun ini.
“Memang menjadi kewajipan untuk kami, peminat duri hitam menikmati buah itu meskipun tidak sampai lima ulas bagi setiap biji. Bukan hantu durian jika tidak pekena duri hitam.
“Biarlah harganya jadi stabil dahulu. Mungkin boleh turun sehingga RM70 sekilogram apabila tiba musim luruh duri hitam pada bulan depan,” jelasnya.