PETALING JAYA – Isu berhubung keterbukaan dan pendekatan sesetengah selebriti enggan mendedahkan wajah anak kepada umum masih menjadi perdebatan dalam media sosial.
Tampil meluahkan pendapat, penyanyi dan pengacara popular Elly Mazlein mengakui, dirinya merupakan antara artis yang memilih menyembunyikan wajah anak-anaknya daripada tatapan umum.
Kata pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 41, apa yang dilakukan adalah pilihan sendiri dan dia memilih bahagia kerana mahu anak-anaknya jauh dari dunia glamor.
“Biarlah anak-anak saya dengan cara mereka. Jangan pelik sangat. Benda tak ada apa pun nak dipelikkan atau hairan.
“Banyak lagi benda lain nak dibuat ‘content’. Jangan sentuh hal anak-anak dan manusia ada hak untuk buat pilihan,” katanya dalam satu hantaran Instagram.
Elly memiliki seorang anak perempuan bernama Putri Sara Sefhia, 6, hasil perkahwinan dengan bekas suaminya, pengarah Azmi Hatta.
Pengacara yang kemudian berkahwin dengan seorang guru, Mohamad Azlan Che Nuh itu juga baru dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Haider Mateen yang berusia lima bulan.
Sehingga kini, penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu bagaimanapun mengambil pendekatan menyembunyikan wajah kedua-dua anaknya daripada umum.
Perkongsian Elly difahamkan merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan usahawan sensasi, Liana Rosli atau Kak KM yang sebelum ini menempelak tindakan segelintir artis yang berkongsi gambar anak mereka selepas bersalin namun tidak mendedahkan wajah bayi itu.
Biarpun ada segelintir netizen bercanggah pendapat mengenai isu berkenaan namun menerusi ruangan komen perkongsiannya, ramai peminatnya bersetuju dengan kenyataan pengacara itu.
Hal ini kerana, sebagai seorang ibu, masing-masing ada hak untuk menentukan jalan kebaikan untuk anak sendiri.
Sebelum itu, pengacara Azwan Ali atau Diva AA juga turut bersuara tentang isu tayang wajah anak dalam media sosial apabila memuji tindakan pelakon Shaheizy Sam dan isterinya, Syatilla Melvin yang tidak menunggu lama mendedahkan wajah anak ketiga mereka kepada umum.
Terdahulu, terdapat segelintir pasangan selebriti popular mengambil pendekatan tidak berkongsi wajah anak mereka atas alasan mengelak penyakit ain, termasuklah Neelofa dan pasanganya, Haris Ismail. – KOSMO! ONLINE