HANOI – Atlet sensasi negara, Andre Anura Anuar mempunyai misi besar pada Sukan SEA Kemboja tahun depan sejurus berjaya menjelmakan pingat emas dalam acara lompat kijang di Hanoi semalam.
Atlet kelahiran Sabah itu mengakui dia bertekad untuk mempertahankan pingat emas pada sukan dwitahunan di Kemboja nanti selain mahu mengatasi rekod temasya yang dicatat atlet senior, Muhammad Hakimi Ismail iaitu 16.77 meter (m) pada Sukan SEA Kuala Lumpur (2017).
“Ini emas pertama saya pada Sukan SEA dan pastinya ia adalah pencapaian terbaik dalam karier saya.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana saya berjaya mengatasi kekecewaan selepas gagal meraih pingat dalam acara lompat jauh.
“Saya tahu acara lompat kijang sangat teknikal dan saya kalah lompat jauh, namun saya tahu kelebihan ada dalam acara lompat kijang bahkan akan mampu meraih emas buat Malaysia.
“Kemenangan tersebut sekali gus dapat mempertahankan pingat emas diraih atlet senior saya iaitu Hakimi Ismail.
“Pastinya saya mempertahankan emas di Kemboja tahun seterusnya dan saya akan bekerja lebih keras dengan harapan dapat mengatasi rekod Hakimi nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ketika di Hanoi, atlet kelahiran Sabah itu mengubati kekecewaan dihadapinya dengan emas tersebut selepas gagal membutirkan pingat dalam acara lompat jauh apabila enam lompatannya dibatalkan.
Namun, Andre bangkit melengkapkan sasaran emas kelima buat skuad olahraga negara dengan melakukan 16.51m, sekali gus mengatasi catatan terbaik peribadi 16.09m dilakukan pada Terbuka Malaysia Mac lepas.
Kejayaan itu memastikan Malaysia mempertahankan gelaran jaguh lompat kijang negara, Hakimi Ismail sejak edisi 2015, selepas dia tidak menyertai edisi kali ini kerana masih dalam proses pemulihan selepas pembedahan.