WASHINGTON – Lebih 40,000 orang terbunuh di jalan-jalan raya di seluruh Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, demikian menurut statistik kerajaan persekutuan sekali gus angka korban tertinggi dalam tempoh lebih 15 tahun.
Menurut agensi berita United Press International (UPI), angka tahunan yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan(NHTSA) itu mendapati, terdapat 43,000 kematian di jalan dan lebuh raya AS tahun lalu, meningkat lebih 10 peratus berbanding 38,800 kematian pada 2020.
NHTSA menyatakan, angka kematian di jalan dan lebuh raya itu adalah tertinggi sejak 2005. Katanya, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 10.5 peratus dari 2005 hingga 2021 juga tertinggi sejak agensi berkenaan mula merekodkan data berkenaan dalam tahun 1975.
“Kita berdepan dengan krisis di jalan dan lebuh raya di AS dan kita perlu menanganinya secara bersama,” kata Setiausaha Pengangkutan, Pete Buttigieg dalam satu kenyataan.
“Krisis di jalan-jalan di negara ini mencemaskan dan boleh dicegah,” kata Timbalan Pengarah NHTSA, Steven Cliff pula.
Laporan Selasa lalu berhubung peningkatan dalam angka kematian itu dikeluarkan selepas wabak Covid-19 di AS beransur reda dan lebih ramai orang kembali ke jalan-jalan raya.
Menurut laporan sama, pemandu di AS melakukan perjalanan sekitar 523 bilion kilometer pada tahun lalu berbanding 2020. Laporan sama juga menyebut bahawa kematian akibat nahas pelbagai kenderaan dan kemalangan di jalan-jalan bandar meningkat sebanyak 16 peratus.
NHTSA menyatakan, angka kematian dalam kalangan pemandu berusia lebih 65 tahun meningkat 14 peratus, manakala korban pejalan kaki bertambah sebanyak 13 peratus.
Punca peningkatan berterusan kematian akibat kemalangan jalan raya di AS itu masih belum jelas. Sebilangan pakar bagaimanapun berkata, semakin ramai pemandu memandu laju dan secara cuai walaupun bilangan kenderaan di jalan dan lebuh raya di seluruh negara itu mencatat penurunan semasa pandemik Covid-19. – Agensi