HANOI – Impian untuk menyaksikan skuad golf negara menamatkan penantian 21 tahun bagi merangkul kembali pingat emas dalam acara golf berpasukan pada Sukan SEA Vietnam 2021 terlaksana apabila berjaya menewaskan Thailand 2-1 pada aksi final semalam.
Pada aksi di Heron Lake Golf Course dan Resort, Vinh Phuc, Hanoi itu menyaksikan skuad negara yang diketuai Ervin Chang bersama K. Rhaasrikanesh, Marcus Lim dan A. Nateeshvar berjaya mengatasi cabaran pasukan pilihan dari Thailand.
“Ini adalah penampilan terakhir saya pada Sukan SEA kerana saya berhasrat untuk beralih ke alam profesional.
“Pastinya ini impian saya meraih emas untuk Malaysia dan saya berjaya lakukannya. Dapat emas kali pertama untuk Malaysia adalah di luar impian saya.
“Terima kasih kepada ibu bapa saya, Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Golf Malaysia (MGA), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan penaja yang sentiasa menyokong impian saya. Pingat emas ini untuk semua rakyat Malaysia,” kata Ervin.
Kali terakhir Malaysia menang acara berpasukan adalah pada Sukan SEA Kuala Lumpur (2001) menerusi Airil Rizman Zahari, S. Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin.
Lebih manis, kejayaan skuad lelaki negara turut diteruskan acara berpasukan wanita diwakili Jeneath Wong dan Mirabel Ting yang meraih pingat perak.
Gandingan dua pemain golf wanita negara itu tewas kepada Thailand selepas Jeneath tewas satu lubang kepada Eila Galitsky, manakala Mirable akur dengan Natthakritta Vongtaveelap.
Pencapaian memenangi dua emas dan satu perak serta gangsa menyaksikan pencapaian terbaik pasukan golf negara pasukan itu tidak diletakkan sandaran untuk meraih emas buat kontinjen Malaysia pada temasya sukan dwitahunan itu.