PETALING JAYA – Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah menewaskan pemain Azerbaijan, Ade Resky Dwicahyo 21-19, 21-9 di pusingan pertama Terbuka Thailand sebentar tadi.
Juara Asia cuma mengambil masa selama 36 minit sebelum melakar kemenangan ke atas pemain naturalisasi Azerbaijan dari Indonesia itu dalam aksi di Impact Arena, Bangkok untuk melangkah ke pusingan kedua esok.
Selepas ini, Zii Jia, 24, akan berhadapan Kai Hendrik Schafer dari Jerman yang mara selepas mencatat kemenangan 21-11, 21-13 ke atas pemain Perancis, Thomas Rouxel.
Atas kertas, Zii Jia dijangka tiada masalah untuk menempah pertemuan menentang pemenang antara Bryan Yang dari Kanada atau pilihan ketiga kejohanan dari Denmark, Anton Antonsen di suku akhir pada Jumaat ini.
Selain Zii Jia, Liew Daren turut mara ke pusingan kedua esok selepas menewaskan pemenang Piala Thomas 2022 dari India, H. S. Prannoy 21-17, 15-21, 21-15.
Bagaimanapun, hasrat seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong untuk mengikut jejak langkah Zii Jia dan Daren tidak kesampaian apabila tumbang 12-21, 21-13, 19-21 kepada Wang Tzu-wei dari Taiwan.
Turut menimpa nasib malang adalah pemain perseorangan No. 1 wanita negara, S. Kisona selepas tewas kepada Ruselli Hartawan dari Indonesia dengan keputusan 21-14, 18-21, 19-21. – KOSMO! ONLINE