fbpx

Tiga hari hilang, lelaki jatuh Jambatan Pulau Pinang ditemui mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat lelaki yang disyaki terjun dari Jambatan Pulau Pinang dekat George Town, Isnin lalu ditemui terapung di perairan negeri hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang dikhuatiri terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang dekat sini Isnin lalu ditemui mati di perairan negeri ini pada kedudukan kira-kira 2.3 batu nautika barat daya Pulau Rimau dekat sini hari ini.

Mayat lelaki berusia 28 tahun itu ditemui dalam keadaan terapung kira-kira pukul 9.40 pagi oleh nelayan.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga hari ini dihentikan setelah Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang menerima panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan penemuan tersebut.

“Bot PERKASA 1221 dan aset agensi sahabat yang terlibat diatur gerak ke lokasi penemuan.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa oleh bot RH 35 Pasukan Polis Marin ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk proses pengecaman dan sanitasi oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat yang membabitkan lima sektor pencarian dengan keluasan 34.08 batu nautika persegi itu kemudiannya ditamatkan pada pukul 1 tengah hari.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Antara agensi yang terlibat dalam operasi terbabit adalah APMM bersama Pasukan Polis Marin Batu Uban, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Agensi Pertahanan Awam.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas didakwa terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 4.0 arah Prai dekat sini.

Mangsa dikatakan meninggalkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan enjin masih hidup bersama dokumen pengenalan diri kira-kira pukul 12.10 tengah hari. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI