HANOI – Rombakan akan dibuat, itu janji Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin selepas menyaksikan skuad silat negara tidak berupaya mencapai sasaran pada Sukan SEA Vietnam 2021.
Tidak dinafikan kegagalan skuad silat negara yang hanya meraih dua pingat emas daripada tiga sasaran awal pada temasya dwitahunan tersebut sedikit sebanyak menggusarkan terutama ketika mereka dalam persiapan ke Kejuaraan Pencak Silat Dunia edisi ke-20 bakal dilangsungkan di Melaka dari 21 hingga 29 Julai nanti.
Justeru, Megat Zulkarnain mengakui akan melakukan rombakan kejurulatihan sejurus mereka selesai menjalani ‘bedah siasat’ terutama mengenai pencapaian serta prestasi atlet negara di Hanoi.
“Memang ada perubahan dan sudah siap. Jadi akan ada perubahan dan kita akan buat rombakan dan besar jugalah.
“Kita faham benda ini masih baharu terutama peraturan. Jurulatih juga tak mahir lagi dengan peraturan baharu ini di mana dia boleh buat bantahan ataupun tidak.
“Jadi kita kena tengok balik secara keseluruhan dan buat masa ini kita tidak mahu salahkan sesiapa,” katanya.
Pesilat negara menutup saingan dengan keseluruhan dua emas, tiga perak dan sembilan gangsa.
Pada saingan itu, dua pingat emas berjaya diperolehi menerusi Mohd. Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga dalam acara seni ganda putra.
Emas kedua berjaya disumbangkan atlet berusia 20 tahun, Muhammad Khairi Adib Azhar sejurus menumbangkan seteru dari Indonesia, Khoirudin Mustakim dalam kelas B Lelaki (50 hingga 55kg).
Pencapaian pesilat muda itu sekali gus meneruskan legasi bapanya, Azhar Ahmad yang memenangi pingat emas pada edisi 2001 di Kuala Lumpur.