Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan pandang rendah kemampuan Sri Pahang FC dan tetap berwaspada ketika berdepan pasukan lawan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.
Di atas kertas, juara liga lapan musim berturut-turut yang menang semua perlawanan liga setakat ini tidak berdepan tugas sukar menewaskan pasukan Tok Gajah yang berdepan prestasi turun naik ketika ini.
Bagaimanapun, Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora tidak melihat statistik itu sebagai ukuran dan menuntut pemain memberi tumpuan penuh bagi mengutip tiga mata.
Katanya, prestasi skuad bimbingan Christophe Gamel itu bertambah baik sejak kebelakangan ini dan berjaya mempamerkan aksi yang boleh tahan selain mampu mencipta kejutan.
“Prestasi semasa Sri Pahang semakin baik, pastinya mereka mampu mendatangkan masalah kepada kami pada perlawanan esok (malam ini).
“Sejarah perseteruan antara Sri Pahang dengan JDT akan menjadikan pertemuan esok lebih menarik dan amat penting buat kami. Kami sudah bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran itu,” katanya kepada pemberita semalam.
Mora menambah, pemain yang akan diberikan tumpuan ialah pemain import kelahiran Argentina, Manuel Hidalgo yang dilihat mampu menjadi duri dalam daging buat pasukannya.
Disoal mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan, Mora memberi bayangan bahawa Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri akan bergandingan menjadi pemusnah buat skuad Tok Gajah itu.
“Pada perlawanan sebelum ini, sentuhan penyudah Bergson dilihat tumpul apabila gagal meledak jaringan ketika JDT menewaskan Sarawak United 3-0 pada aksi Piala FA. Saya yakin dia akan bangkit untuk tebus kekecewaan itu.
“Dua lagi pemain import iaitu Leandro Velázquez dan Shane Lowry dilihat tidak dapat diturunkan kerana sedang menjalani proses pemulihan setelah mengalami kecederaan otot,” katanya. – KOSMO! ONLINE