PETALING JAYA – Kegilaan drama ‘berhantu’ 7 Hati Mencintaiku musim ketiga (7HMCK3) menghampiri kemuncak pada minggu ini.
Tidak cukup dengan konflik bertalu-talu melanda keluarga Mak Leha lakonan Liza Abdullah dan Pak Samad (Kazar) muncul pula perdebatan netizen mengenai dakwaan jalan cerita yang dikatakan melanggar hukum-hakam agama.
Perkara tersebut tercetus apabila karakter Khuzairi (Shukri Yahaya) membuat keputusan menjadi ‘pak sanggup’ mengahwini Nurul (Wafariena) yang didakwa hamil anak Pak Samad.
Disebabkan hal tersebut, netizen mula berbalah dan sangsi adakah si anak dibenarkan berkahwin dengan wanita hamil anak luar nikah yang sepatutnya menjadi ibu tirinya.
“Tidak terfikir ke kalau Khuzairi kahwin dengan Nurul, anak yang dikandung itu secara teknikalnya ialah adik dia?” soal netizen.
Menjawab persoalan ramai, pendakwah bebas popular, Azman Shah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman berkata pernikahan antara Khuzairi dan Nurul adalah sah.
“Seandainya Khuzairi mengahwini Nurul yang hamil anak luar nikah Pak Samad, pernikahan mereka adalah sah di sisi Mazhab Syafie.
“Perkara ini terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Saya cuma menjelaskan mengikut Mazhab Syafie sahaja seperti yang dinyatakan dalam surah An-Nisa’ ayat 24.
“Apa yang penting ialah jangan caras Fatin (Reen Rahim),” katanya dalam satu video TikTok.
Sebagai info, PU Azman turut membintangi drama tersebut yang membawak watak Taufiq iaitu bekas suami Fatin.
Drama 7 HMK3 merupakan antara drama yang paling popular dan hangat diperkatakan netizen hari ini. – KOSMO ONLINE