fbpx

Hidup merana selepas pajak sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

MARAN – Peneroka Felda yang memajak tanah kelapa sawit kepada pihak dan orang lain kerana mahu meraih wang yang lebih lumayan kini bukan sahaja menyesal dengan tindakan tersebut, malah mengakui hidup mereka merana.

Selain peneroka awal, generasi kedua turut menerima natijah apabila tidak dapat menikmati kemewahan ketika harga sawit melambung tinggi apabila tanah telah dipajakkan oleh ibu bapa mereka kepada orang lain.

Hal ini berlaku di beberapa tanah rancangan Felda Wilayah Jengka apabila ramai yang memajak tanah ladang dengan harga sekitar RM50,000 hingga RM100,000 untuk tempoh di antara 5 hingga 20 tahun, malah ada sehingga pokok sawit ditebang semula.

Seorang generasi kedua Felda di sini yang mahu dikenali sebagai Rosli, 30, berkata, tindakan allahyarham bapanya menggadai tanah ladang kepada peneroka dari rancangan lain lebih 25 tahun lalu menyebabkan ekonomi keluarga tidak stabil berbanding keluarga peneroka lain.

Menurutnya, dia tidak menge­tahui berapa jumlah bayaran yang diterima oleh allahyarham bapanya dahulu, namum realiti­nya, dia sekeluarga tidak pernah senang selepas tanah dipajak, malah rumah pun dalam keada­an asal tanpa sebarang ubah suai atau naik taraf.

Berita berkaitan: Peneroka sawit gigit jari, menyesal pajak tanah

“Kehidupan kami 12 beradik kini sangat sukar sehingga memaksa ibu bekerja sebagai buruh di sebuah institusi bagi menampung perbelanjaan keluarga.

“Lebih menyedihkan, sebarang insentif Felda seperti duit raya turut diambil oleh pemajak yang sepatutnya menjadi hak kami sekeluarga,” katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, seorang pene­roka yang mahu dikenali Othman, 70, mengakui menyesal dengan tindakan memajak tanah ladang sawit sebaik sahaja menerima geran pada akhir tahun 1990-an.

“Kini saya dibelenggu dengan janji pemajakan ladang sehingga tahun 2028 kepada empat tauke pemajak yang silih berganti. Saya hanya mampu menggigit jari apabila harga sawit yang tinggi sekarang.

“Saya boleh diibaratkan sebagai saudagar emas, tetapi tidak meraih hasilnya yang lumayan.

“Lebih malang lagi apabila tiga anak lelaki saya pula terpaksa bekerja dengan pemajak di ladang sendiri sebagai sumber pendapatan keluarga selain sumbangan RM500 sebulan ihsan pemajak,” katanya.

Bagi seorang balu yang dikenali sebagai Halimaton, 60, berkata, dia turut terkesan apabila allahyarham suami terpengaruh de­ngan sindiket wang panas memajak ladang sawit dalam tempoh lama.

Menurutnya, wang yang diperoleh kira-kira RM20,000 sebelum ini sudah habis digunakan untuk membaiki rumah.

“Sekarang, kami langsung tiada punca pendapatan dan semakin perit apabila tunggak keluarga sudah meninggal dunia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI