fbpx

Finnegan mula pasang impian ke temasya Olimpik Paris 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FINNEGAN berjaya merangkul dua pingat emas dan dua perak pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021 kali ini. – AFP

HANOI – Gimnas Filipina, Aleah Finnegan memberi bayangan mahu kembali ber­­aksi di pentas kejohanan tertinggi susulan kejayaannya meraih dua pingat emas dan dua perak pada Sukan SEA Vietnam 2021.

Atlet berusia 19 tahun itu pernah mengumumkan persaraannya daripada pentas elit pada tahun lalu selepas gagal menyertai sesi pemilihan skuad gimnastik Amerika Syarikat (AS) ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kekecewaan Finnegan se­olah-olah sudah berakhir apabila meluahkan keinginannya untuk membanggakan Filipina di kejohanan yang lebih berprestij sejak membuat keputusan kembali mewakili negara itu pada Mac lalu.

“Saya tidak pernah menutup pintu untuk Sukan Olimpik. Saya masih akan mencuba untuk layak ke edisi seterusnya (Sukan Olimpik Paris 2024).

“Kita tunggu dan lihat bagaimana keadaan dan tahap badan saya nanti. Buat masa ini masih ada sedikit masalah yang perlu diselesaikan, tetapi ia bukan satu masalah besar.

“Sudah tentu saya sendiri ada perancangan peribadi untuk menghadapi kejohanan sete­rusnya. Namun, saya tiada pe­rancangan masa depan, semua­nya bergantung kepada keadaan dan prestasi tubuh badan saya,” katanya.

Atlet gimnastik artistik yang dilahirkan di Missouri, AS itu menjuarai acara berpasukan dan palang sejajar pada penampilan pertamanya bersama Filipina di pentas antarabangsa.

Sebelum menukar kerakyatan, Finnegan pernah menjuarai Sukan Pan American bersama skuad gimnastik artistik AS dalam acara berpasukan wanita di Lima, Peru tiga tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI