KUALA TERENGGANU – Kemusnahan jambatan kayu Pulau Sekati di sini akibat banjir hampir tiga bulan lalu bukan sahaja menghilangkan legasi seni bina puluhan tahun malah menjejaskan kehidupan kira-kira 200 penduduknya.
Penduduk mendakwa mereka mengalami gangguan bekalan elektrik dan air sejak hujung Februari lalu berikutan jambatan kayu itu sebelum ini turut menempatkan sebahagian kabel elektrik.
Seorang penduduk, Wan Ramlah Wan Sharif, 61, mendakwa, gangguan bekalan elektrik berkenaan membuatkan banyak peralatan elektrik terutama televisyen penduduk mengalami kerosakan.
“Mungkin voltan bekalan elektrik yang disalurkan ke perkampungan ini terganggu selepas banjir kerana lampu sebahagian rumah kami sukar berfungsi dan asyik terkelip-kelip.
“Peti sejuk juga tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan banyak bahan mentah untuk memasak seperti ayam, ikan, daging dan sayur cepat rosak,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Sekati di sini semalam.
Wan Ramlah yang juga pengusaha ketupat palas mendakwa, gangguan bekalan elektrik itu juga menyebabkan proses mengukus ketupat palas bertambah kepada 80 minit berbanding 40 minit sebelum ini.
“Senario itu menyukarkan saya untuk menetapi masa bagi memenuhi permintaan pelanggan khususnya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
“Yang peliknya, walaupun kadar bekalan elektrik berkurangan, bil bulanan semakin meningkat,” dakwanya.
Seorang penduduk lain, Mohd. Sanizam Abd. Rahman, 43, pula mendakwa tekanan air di perkampungannya menjadi rendah selepas kejadian banjir luar biasa pada 28 Februari itu.
“Kami terpaksa kembali menggunakan sumber air telaga disebabkan bekalan air paip terlalu perlahan.
“Begitu pun, timbul kesukaran lain pula kerana penggunaan mesin penyedut air tidak dapat dimaksimumkan ekoran gangguan bekalan elektrik,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Sanizam merayu pihak terlibat agar segera mengatasi masalah berkenaan demi kebajikan penduduk.