SHAH ALAM – Seorang penolong jurutera sebuah agensi kerajaan direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung meminta suapan RM80,000 bagi membantu mendapat projek pembaikan sebuah sekolah di sekitar Selangor.
Perintah reman itu sehingga Sabtu itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil terhadap suspek lelaki berusia 35 tahun selepas permohonan reman dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek terdahulu ditangkap pukul 4 petang semalam di sebuah restoran sekitar Bangi dekat sini.
Katanya, sewaktu ditangkap suspek telah menerima suapan RM10,000 daripada seorang individu lain daripada RM80,000 yang dimintanya.
“Suapan itu sebagai balasan membantu mendapatkan projek pembaikan sebuah sekolah di satu daerah sekitar Selangor.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati suspek yang telah bekerja selama lapan tahun di agensi kerajaan itu adalah pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek terbabit,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Jelas beliau, siasatan awal turut mendapati nilai projek bagi pembaikan sekolah tersebut dianggarkan bernilai lebih RM300,000 dengan projek akan dimulakan pada tahun ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. -KOSMO!ONLINE