WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah menandatangani arahan untuk mengerahkan semula beratus-ratus pasukan Operasi Khas ke Somalia selepas Donald Trump mengundurkan tentera dari negara itu ketika menjadi presiden, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
“Biden telah meluluskan permintaan daripada Setiausaha Pertahanan untuk menempatkan tentera AS di Somalia bagi melancarkan pertempuran yang lebih berkesan dalam menentang kumpulan Al-Shabab.
“Ini adalah penempatan semula pasukan yang sudah berada di kawasan pertempuran yang bergerak keluar dan masuk dari Somalia sejak pentadbiran terdahulu membuat keputusan untuk berundur pada Januari 2021,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran kepada akhbar The Hill.
Menurut seorang sumber akhbar The New York Times, dianggarkan kira-kira 450 tentera AS akan kembali ke Somalia.
Trump sebelum ini telah mengarahkan 700 tentera yang ditempatkan di negara itu untuk berundur pada awal 2021 sebelum Biden mengambil alih jawatan.
Sejak pengunduran, beberapa misi kecil telah dijalankan untuk melatih pasukan tentera Somalia dan Kesatuan Afrika di tengah-tengah ketidakstabilan politik negara itu.
Keputusan Biden itu dibuat selepas kurang setahun beliau mengarahkan tenteranya berundur dari Afghanistan, yang membuatkan Taliban merampas kembali pemerintahan negara itu daripada kerajaan yang disokong AS.
Seorang pegawai kanan pentadbiran berkata, senario di Somalia adalah jauh berbeza dengan Afghanistan.
“Taliban tidak menyatakan hasrat untuk menyerang AS, manakala Al-Shabab sebaliknya menimbulkan ancaman yang lebih ketara kepada Washington dan sekutunya,” kata pegawai kanan pentadbiran itu. – Agesi