PUTRAJAYA – Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu yang sudah mengumumkan calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dianggap mendahului ibu pejabat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat ini belum pun ada lagi persetujuan secara rasmi daripada pihak Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu sendiri.
“Sebenarnya memang tiada apa-apa persetujuan pun daripada pihak MPT dan sebab itu saya tidak mahu membangkitkan isu sebegini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini
Terdahulu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri meraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Aidilfitri Kementerian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Mengulas lanjut, Hamzah dalam nada tegas memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan perbincangan semula dengan pihak yang terlibat untuk mengelak berlaku pertindihan kerusi.
“Ini memang perkara biasa dialami semua parti dan kadang kala ada kepimpinan di peringkat negeri yang dilihat cuba mendahului keputusan ditetapkan oleh pihak ibu pejabat,” katanya. – KOSMO! ONLINE