PETALING JAYA – Sedar namanya agak ‘tenggelam’ sebagai salah seorang penghibur tanah air, penyanyi Amira Othman terfikir untuk melakukan kontroversi ‘manja’ agar dirinya lebih dikenali dan diingati.
Bercakap kepada Kosmo!, Amira atau nama lengkapnya Nadia Amira Othman, dia tidak menolak kontroversi boleh membuatkan nama seseorang artis menjadi besar dan lebih dikenali peminat untuk terus relevan dalam industri.
“Saya tidak menolak kontroversi boleh menaikkan nama seseorang selebriti. Perkara tersebut memang benar. Saya rasa mungkin saya juga perlu cipta satu kontroversi untuk menaikkan nama sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online.
Penyanyi berusia 29 tahun itu ketika ditemui semasa sidang media program terbaharu Astro, Karaoke Superstar di Gardens Theater semalam bagaimanapun tidak mempunyai idea untuk mencetuskan kontroversi diri sendiri.
“Masalahnya sekarang saya tidak tahu dan tidak ada idea untuk cipta kontroversi apa. Saya sedang memikirkannya juga.
“Cuma sekarang saya hanya mengharapkan karya-karya saya dapat menempatkan semula nama dalam industri sekali gus membuatkan orang kenal siapa Amira Othman,” ujarnya.
Tambah pelantun lagu Hati-Hati itu, selain kontroversi, dia juga banyak kali disaran supaya mencipta gimik untuk lebih dikenali, namun perkara itu tidak mudah untuk dilakukannya.
Kata Amira, dia perlu memikirkan banyak sebab dan akibat jika gimik atau kontroversi yang dilakukannya tidak menjadi dan akhirnya memakan diri sendiri.
“Ramai juga yang mencadangkan supaya saya buat gimik. Tapi saya fikir perkara itu tidak mudah. Saya menjadi jurucakap kepada banyak produk dan perlu memikirkan nama baik juga.
“Sebenarnya saya okay kalau kontroversi atau gimik itu tidak bercanggah dengan imej saya. Cuma saya tidak ada idea buat masa ini. Mungkin netizen boleh beri cadangan kepada saya?” jelasnya berseloroh.
Pada masa sama, Amira tetap memilih jalan selamat untuk mengelak terpalit dengan cerita-cerita tidak enak sehingga boleh mencalarkan nama baik sendiri dan juga keluarga. – KOSMO! ONLINE