STOCKHOLM, SWEDEN – Parti Sosial Demokrat Sweden mengumumkan bahawa negara itu akan menuruti langkah Finland bagi menghantar borang permohonan menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), lapor laman berita The Guardian, kelmarin.
Perdana Menteri, Magdalena Andersson berkata, keputusan tersebut diambil selepas mempertimbangkan jaminan keselamatan terbaik bagi negara itu dan rakyatnya.
“Kami percaya Sweden memerlukan jaminan keselamatan yang formal dan ia akan diperoleh dengan menjadi salah satu daripada negara anggota NATO,” kata Andersson.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sikap berkecuali yang diambil oleh Sweden selama ini tidak akan lagi memberi manfaat kepada kerajaan tersebut.
Tambahnya, Stockholm akan menjadi lemah dan terdedah sekiranya menjadi satu-satunya negara Baltic yang terpinggir daripada mana-mana perikatan atau organisasi.
“Sweden berharap dapat menghantar permohonan kemasukan menjadi anggota NATO bersama-sama Finland dalam minggu ini,” jelas Andersson.
Finland berkongsi sempadan sepanjang 1,300 kilometer dengan Rusia dan sama seperti Sweden, ia telah mengekalkan dasar berkecuali yang ketat daripada ketidakselarasan sejak tamat Perang Dunia Kedua.
Walau bagaimanapun, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah membawa kepada perubahan mendalam dalam pemikiran kedua-dua negara itu.
Sokongan awam untuk penyertaan dalam pakatan NATO di Finland meningkat kepada kira-kira 75 peratus dan melonjak kepada antara 50 hingga 60 peratus di Sweden. – Agensi