KEPONG – Menyedari khasiat yang terdapat pada cendawan kukur atau dikenali sebagai kulat sisir yang tumbuh secara semulajadi, sebuah syarikat Impian Ramai F&B Sdn. Bhd. (Impian Ramai) membuat pelaburan khusus untuk mengkomersialkan produk makanan daripada tumbuhan tersebut.
Cendawan kukur bukan sahaja enak dimasak sebagai salah satu hidangan kampung atau tradisional tetapi turut memiliki rahsia tersembunyi dengan menjadi sumber keperluan tambahan seperti protein, kaya dengan vitamin B dan D, tinggi antioksidan serta membantu menguatkan sistem imunisasi.
Berkonsepkan sedia di makan, keluaran syarikat di bawah jenama Royale Kukur kini menawarkan lima perisa iaitu Royale Kukur Dendeng Kukur, Royale Kukur Masak Lemak Kukur, Royale Kukur Kari Kukur, Royale Kukur Sambal Hijau Kukur, Royale Kukur Creamy Soup Kukur.
Pengasas syarikat, Tengku Roziah Tengku Abdullah berkata, produk ini diproses dan dihasilkan melalui teknologi retort atau pensterilan agar makanan tersebut mampu bertahan sehingga dua tahun tanpa menjejaskan struktur dan rasanya.
“Melalui kaedah terbaharu ini, produk Royale Kukur mudah dibawa ke mana-mana sahaja termasuk melancong ke luar negara kerana pengguna boleh makan begitu sahaja bersama nasi putih atau roti atau hidangan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan kira-kira 150 anak yatim dan asnaf di Pusat Komuniti PPR Intan Baiduri di sini baru-baru ini.
Majlis amal itu dijalankan bersama Pertubuhan Amal Bakti SeMalaysia
Selain itu, Roziah menerangkan, pihaknya bercadang untuk memperkenalkan lebih banyak produk makanan, minuman dan produk penjagaan kecantikan pada masa depan. -KOSMO! ONLINE