MALAYSIA perlu menunggu lebih lama untuk menamatkan kemarau kejuaraan Piala Thomas selepas tersingkir daripada saingan Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand selepas tewas 2-3 kepada India.
Situasi itu menyaksikan skuad badminton negara tersingkir di suku akhir tiga kali berturut-turut, sekali gus gagal untuk menjulang trofi Piala Thomas buat kali pertama sejak 1992.
Meskipun dilabelkan sebagai salah sebuah pasukan pilihan sebelum saingan bermula, namun India masih mampu melakar kejutan ke atas Malaysia dengan melayakkan diri ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh 49 tahun.
Jika dilihat semula kepada senarai pemain yang diturunkan pada perlawanan tersebut, penulis berpendapat Malaysia terlalu meletakkan harapan kepada perseorangan utama, Lee Zii Jia serta dua beregu, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Teo Ee Yi.
Bagaimanapun, India pula dilihat mempertaruhkan nasib mereka menerusi acara perseorangan dan ia nyata membuahkan hasil apabila K. Srikanth dan H.S. Prannoy menggunakan kelebihan pengalaman untuk menewaskan Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao.
Bukanlah mahu menidakkan kemampuan Tze Yong dan Jun Hao, namun secara jelas kita dapat melihat dua pemain tersebut masih kurang berpengalaman untuk menumbangkan pemain-pemain terbaik dunia dalam kejohanan besar seperti Piala Thomas.
Bagi penulis, keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk tidak menyenaraikan pemain-pemain lebih berpengalaman dalam acara berpasukan seperti Cheam June Wei dan Soong Joo Ven dilihat memakan diri.
Bekas perseorangan lelaki No.1 dunia, Muhammad Roslin Hashim turut menjelaskan, dua pemain tersebut seharusnya berada dalam skuad Piala Thomas kali ini kerana menampilkan aksi cukup konsisten sepanjang saingan musim ini.
Pada masa sama, beliau juga mempersoalkan badan induk sukan badminton negara tidak menyenaraikan June Wei dan Joo Ven ke Bangkok meskipun memiliki rekod cukup baik sepanjang saingan musim ini.
“Sepatutnya BAM juga perlu memberi ruang kepada pemain-pemain profesional untuk bersama dalam skuad badminton negara. Bagi saya, tempat dalam pasukan kebangsaan tidak boleh dihadkan kepada pemain BAM sahaja.
“Kita sebenarnya memiliki beberapa pemain lain yang berkualiti seperti June Wei dan Joo Ven tetapi mereka tidak dipilih. Apakah keputusan seperti ini kerana mereka bukan pemain naungan BAM?” ujarnya.
Pada masa sama, kekalahan itu mungkin boleh dijadikan sebagai amaran buat Malaysia memandangkan negara seperti India juga sudah mula mengorak langkah dengan membariskan ramai pemain yang berada dalam kelompok teratas dunia.
Penulis percaya pemain-pemain negara juga tidak sanggup untuk meleburkan harapan seluruh rakyat Malaysia kerana sudah 30 tahun menunggu peluang bagi menamatkan kemarau kejuaraan Piala Thomas.
Perkara itu seiring dengan kenyataan Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky yang berharap semua pemain menjadikan kekalahan tersebut sebagai pembakar semangat untuk bangkit lebih baik selepas ini.
“Semua pemain sudah berjuang dan berikan yang terbaik tetapi India turun dengan mentaliti nothing to lose. Pemain harus ada rasa ‘sakit’ dengan kekalahan ini kerana mereka mungkin akan lakukan kesilapan sama jika tidak merasakannya,” ujar beliau.