PETALING JAYA – Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) menandatangani Perjanjian Pembelian Sekuriti pada 14 Mei lalu bagi mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Perstorp Holding AB (Perstorp), sebuah syarikat bahan kimia khusus global didorong oleh kelestarian pada harga EUR1,538 juta, bersamaan RM7.018 bilion.
Perjanjian tersebut ditandatangani dengan Financière Forêt S.à.r.l, sebuah syarikat di bawah firma ekuiti swasta Eropah, PAI Partners.
Pengambilalihan tersebut menilaikan Perstorp Group pada nilai perusahaan sebanyak EUR2,300.0 juta, bersamaan RM10.5 bilion.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, pengambilalihan itu merupakan peristiwa penting bagi PCG dalam mewujudkan platform utama untuk mempelbagaikan industri kimia khusus dan merebut peluang pertumbuhan baharu.
“Ia membolehkan kami mengekalkan kesinambungan masa hadapan syarikat dalam menghadapi turun naik pasaran dan dinamik perubahan industri.
“Perstorp sesuai secara strategik bagi PCG dan membolehkan kami bersaing dalam pasaran akhir seperti cat & salutan, pembinaan, automotif, penjagaan diri dan pemakanan haiwan yang mempunyai prospek pertumbuhan kukuh.
“Pengambilalihan juga memberi kami bakat kritikal, pengetahuan, platform teknologi dan saluran pelanggan yang terbukti untuk menangani keperluan pasaran dalam penyelesaian yang lebih mampan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ditubuhkan lebih 140 tahun yang lalu, Perstorp adalah pemain dalam industri bahan kimia khusus yang membangunkan penyelesaian lestari dengan memberi tumpuan kepada pasaran Resin & Salutan, Cecair Tereka Bentuk dan Pemakanan Haiwan.
Dengan tujuh tapak pembuatan canggih dan tiga pusat penyelidikan dan pembangunan di seluruh dunia, Perstorp mempunyai kehadiran di 26 negara termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Pasifik.
Pada tahun kewangan 2021, Perstorp merekodkan hasil sebanyak kira-kira EUR1,334 juta (RM6.54 bilion) dan mencatatkan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) EUR248 juta (RM1.214 bilion) dengan margin EBITDA sebanyak 18.6 peratus. – KOSMO! ONLINE