SHAH ALAM – Seorang penolong jurutera dicekup bagi membantu siasatan berhubung meminta suapan bernilai RM80,000 bagi projek pembaikan sebuah sekolah di sekitar Selangor.
Suspek lelaki berusia 35 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 4 petang tadi di sebuah restoran sekitar Bangi, dekat sini.
Menurut sumber, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek adalah pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek terbabit.
Katanya, suspek yang bekerja di salah sebuah agensi kerajaan telah meminta sejumlah suapan RM80,000 bagi membantu mendapatkan projek pembaikan sekolah berkenaan.
“Dia ditahan oleh sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor setelah menerima wang tunai RM10,000 daripada seorang individu lain di sebuah restoran sekitar Bangi,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
“Permohonan reman suspek akan dilakukan di Mahkamah Majistret Shah Alam, esok,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE